KEMAMAN - Objek dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang wanita ketika memancing berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, perlu dibuat kajian bagi mengesahkan ketulenannya.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kajian itu penting bagi memastikan objek seberat sekitar lima kilogram itu adalah asli atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.
Susulan itu, pegawai jabatan itu telah mengambil sampel ketulan batu itu yang berkunjung di kedai makan Aida Zurina Long, 41, di Kemasik di sini hari ini. Ia akan dihantar untuk dianalisa bagi memastikan ketulenannya sama ada benar-benar muntah ikan paus atau sebaliknya.
"Kita risau jika ia sebenarnya sisa gumpalan bahan lain yang dikhuatiri berbahaya dan mengancam nyawa. Pihak kami hanya mengetahui penemuan objek didakwa muntah ikan paus itu setelah disiarkan media semalam," kata Ruzaidi ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar beliau, penemuan itu sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan negeri memandangkan ikan paus merupakan antara spesies terancam yang dilindungi.
Semalam, media tempatan melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu. Sekiranya ketulenan objek itu disahkan, nilai pasarannya mencecah RM211,000 sekilogram.
Berkaitan: Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga.
EmoticonEmoticon