Rabu, 22 Disember 2021

Ikan paus cedera terdampar di pantai Gong Balai diselamatkan


MARANG - Seekor ikan paus sperma (Kogia Brevicep) seberat kira-kira 250 kilogram yang cedera ditemui terdampar di pantai Gong Balai, di sini, hari ini kira-kira jam 11.30 pagi dengan beberapa kesan luka dipercayai terkena pukat nelayan.


Penduduk kampung, Mohd Saiful Daud, 40, yang bekerja sendiri berkata, dia pergi ke pantai terbabit untuk melihat ombak sebelum terserempak dengan ikan paus itu yang masih hidup ketika ditemui.


"Keseluruhan bahagian perutnya kemerahan dan saya percaya ia akibat terkena pukat nelayan laut dalam," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Balai, petang ini.


Katanya, ikan paus itu seolah-olah tidak mahu kembali selepas beberapa kali mereka menolaknya ke laut dan tidak mahu berusaha untuk berenang.


"Saya dan kawan-kawan beberapa kali menolaknya ke laut supaya ikan itu terus bernyawa dan selamat. Bagaimanapun, ia tidak mahu terus berenang mungkin disebabkan mengalami kesakitan," katanya.


Menurutnya, sebagai jalan terakhir, dia telah menghubungi Jabatan Perikanan bagi memaklumkan kejadian itu. Beberapa kakitangan Jabatan Perikanan tiba selepas itu sebelum paus diusung ke dalam kenderaan agensi terbabit.


Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan penemuan itu.


Menurutnya, ikan paus terbabit kemudiannya dibawa kakitangan Pusat Penyelidikan Penyu Rantau Abang ke pusat terbabit untuk tindakan lanjut.


Ikan paus yang ditemui cedera di Pantai Gong Balai.


EmoticonEmoticon