Seorang bintang penstriman secara langsung popular dari China, dikenakan denda berjumlah 1.34 bilion yuan (RM884 juta) kerana mengelak daripada membayar cukai, lapor BBC News pada 20 Disember 2021.
Huang Wei, juga dikenali sebagai Viya merupakan seorang selebriti internet dengan mempunyai berjuta-juta pengikut, dan menggunakan platform miliknya bagi menjual pelbagai jenis produk.
Pihak berkuasa Hangzhou menuduh wanita itu menyembunyikan pendapatan peribadinya, selain turut melakukan beberapa kesalahan kewangan lain antara 2019 dan 2020.
Viya menerusi satu hantaran di laman sosial Weibonya berkata, dia sangat menyesal dan membuat permohonan maaf bagi perkara itu.
"Saya dengan sepenuh hati menerima hukuman yang dibuat oleh pihak berkuasa cukai," katanya pada hantaran tersebut.
Wanita berusia 36 tahun itu menjadi selebriti internet yang berpengaruh di China, didorong oleh perkembangan aktiviti beli-belah secara dalam talian.
Viya sepatutnya menjadi host acara jualan kosmetik pada petang Isnin (semalam) ini, sebelum akaun penstrimannya telah dipadam akibat daripada isu tersebut, menurut agensi berita Reuters.
Platform media sosialnya yang meluas menjadikan Viya tersenarai dalam senarai 100 tokoh paling berpengaruh oleh majalah Time bagi tahun ini.
EmoticonEmoticon