Rabu, 15 Disember 2021

Bencana paling dahsyat berlaku di AS, 30 Tornado 'sapu bersih' enam negeri


MAYFIELD - Puluhan tornado meranapkan harta benda di enam negeri di Amerika Syarikat (AS) dalam satu malam, menyebabkan puluhan orang terbunuh dan ramai lagi hilang, lapor CNN pada 11 Disember 2021.


Laporan pihak berkuasa merekodkan sebanyak 30 tornado 'muncul' di keenam-enam negeri berkenaan. Lebih 70 penduduk dipercayai maut di Kentucky dengan kebanyakannya merupakan pekerja di sebuah kilang lilin.


Sekurang-kurangnya 13 orang maut di beberapa negeri lain, termasuk di gudang Amazon di Illinois. Jumlah korban keseluruhan sehingga kini sebanyak 83 orang.


Sehubungan itu, Presiden AS, Joe Biden berjanji untuk memberi bantuan sewajar kepada semua pihak terjejas akibat tornado tersebut. Bencana alam yang berlaku juga menyebabkan setengah juta kediaman di beberapa negeri terputus bekalan elektrik.



"Ini merupakan tragedi besar dan sehingga kini kita tidak tahu berapa ramai yang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat tornado tersebut," kata Biden menyifatkan bencana itu sebagai yang 'terbesar dalam sejarah negara ini'.


Ketika keadaan cuaca semakin sejuk, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas, dengan harapan dapat menemukan lebih ramai mangsa yang terselamat.


Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, tornado yang melanda negeri itu disifatkan 'paling dahsyat yang pernah berlaku' dan tidak menolak kemungkinan jumlah korban mungkin lebih tinggi daripada yang dijangka.


Katanya, dianggarkan terdapat kira-kira 110 pekerja di kilang lilin tersebut ketika ribut berlaku, selain menyaksikan bumbung premis itu tercabut. Setakat ini, seramai 40 pekerja kilang itu sudah diselamatkan dan peluang untuk menemukan mangsa terselamat adalah tipis.


Sehubungan itu, Beshear mengisytiharkan darurat di negeri itu. Selain itu, pekan Mayfield di barat Kentucky dilaporkan 'ranap sepenuhnya' apabila kawasan itu paling teruk terjejas dilanda tornado.


Pihak berkuasa menggambarkan keadaan di pekan dengan kira-kira 100,000 penghuni itu seperti 'malapetaka' dengan banyak rumah menyembah bumi, batang pokok tercabut dan diterbangkan serta kenderaan terbalik.


Antara kediaman yang musnah di badai tornado di Bowling Green, Kentucky. - Foto AP.

Keadaan bumbung pusat pengedaran Amazon yang runtuh sehari selepas beberapa siri tornado melanda beberapa negeri di AS, pada 11 Disember 2021. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon