Jumaat, 3 Disember 2021

Asteroid Lebih Besar Daripada Menara Eiffel Dijangka Merempuh Orbit Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang memantau pergerakan sebuah asteroid yang memiliki saiz lebih besar daripada Menara Eiffel, ia sedang menuju dan dijangka merempuh orbit Bumi pada minggu depan.


Menerusi laporan akhbar Daily Star 30 November 2021, asteroid digelar 4660 Nereus itu mempunyai saiz sepanjang 330 meter dan bergerak pada kelajuan melebihi 6.4 kilometer (km) persaat.


Bagaimanapun, asteroid itu dikatakan tidak memberikan ancaman kepada Bumi kerana ia akan melintasi orbit pada 11 Disember ini pada jarak 3.8 juta km, iaitu sekitar 10 kali ganda melebihi jarak antara Bumi dengan Bulan.


Namun, NASA menganggap asteroid itu 'berpotensi menyebabkan bahaya' kerana ia memenuhi parameternya yang berukuran sekurang-kurangnya 150 meter dan dalam jarak 7.4 juta km dari orbit Bumi.


Asteroid itu kali pertama ditemui oleh seorang ahli astronomi, Eleanor F. Helin pada 28 Februari 1982 iaitu kira-kira sebulan selepas ia melewati Bumi pada jarak 4.1 juta km.


Nereus ialah asteroid yang menarik untuk misi robotik dari NASA dan JAXA (agensi angkasa Jepun), memandangkan ia agak dekat dan kerap melalui Bumi, ia adalah calon utama JAXA untuk menghantar kapal angkasa Hayabusa mereka ke Nereus sebelum beralih di asteroid lain bernama 25143 Itokawa.


Walaupun asteroid mungkin tidak menimbulkan ancaman dalam masa terdekat ini, ia tetap kelihatan berbahaya pada Bumi, sebab itu NASA telah membangunkan misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART).


Baca Juga: NASA Uji Kapal Angkasa 'Langgar Dan Letupkan Asteroid' Demi Keselamatan Bumi.


Asteroid dikenali 4660 Nereus itu bersaiz lebih besar daripada Menara Eiffel dijangka merempuh orbit Bumi. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon