Selasa, 28 Disember 2021

Ahli Psikik Ramal 'Alien' Mendarat Di Bumi Tidak Lama Lagi


Seorang ahli psikik popular meramalkan bahawa makhluk asing akan mendarat di Bumi tidak lama lagi, selepas bertahun-tahun melakukan kajian ke atas manusia, lapor akhbar Daily Star pada 13 Disember 2021.


Uri Geller, 74, percaya lokasi pendaratan pertama makhluk asing di Bumi bagi menunjukkan diri kepada manusia adalah di White House, AS, sekali gus sama seperti yang pernah dipaparkan dalam filem sains fiksyen arahan Steven Spielberg.


"Saya berpendapat makhluk asing sedang mengkaji kita tetapi saya tidak tahu apa yang mereka mahukan sebenarnya. Saya menjangkakan pendaratan tersebut akan berlaku pada abad akan datang.


"Tidak mungkin kejadian itu berlaku dalam beribu-ribu atau beratus-ratus tahun lagi. Jika difikirkan secara rasional, saya meramalkan kejadian tersebut akan berlaku dalam tempoh 60 tahun hingga 75 tahun lagi," katanya kepada akhbar The Sun.


Geller sebelum ini mendakwa bahawa dia pernah bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ada melihat bangkai kapal angkasa makhluk asing.


"Saya telah ditunjukkan sekeping gambar UFO yang terhempas pada tahun 1970-an, semasa bekerjasama dengan CIA. Serpihan dari kapal angkasa asing itu disimpan di dalam peti sejuk," dakwanya.


Walaupun Geller tidak tahu mengapa makhluk asing akhirnya mendedahkan diri mereka, dia percaya bahawa makhluk luar angkasa mesra. "Jika 'alien' tidak mesra sudah lama kita dimusnahkan," dakwanya.


Dia turut percaya bahawa Pentagon mengetahui banyak perkara mengenai makhluk asing, namun tidak mendedahkannya kepada orang ramai.


Geller meramalkan makhluk asing akan mendarat dan menunjukkan dirinya tidak lama lagi. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon