Rancangan seorang wanita di Michigan, Amerika Syarikat, yang berhasrat menggunakan pembunuh upahan untuk membunuh bekas suaminya tidak berjaya apabila dia menggunakan laman web yang salah.
Menurut lapor laman berita New York Post pada 23 November 2021, Wendy Wein, 52, menggunakan laman web jenaka, rentahitman.com untuk mencari seseorang yang boleh membunuh bekas suaminya.
Polis Negeri Michigan berkata, Wein menghubungi laman web 'palsu' yang mendakwa boleh 'menyelesaikan masalah' itu untuk mengupah pembunuh. Pemilik laman itu, Bob Innes kemudian membuat laporan polis selepas menerima borang permohonan Wein.
Menurut Monroe News, seorang polis membuat penyamaran sebagai pembunuh upahan kemudian bertemu dengan Wein di tempat letak kereta, Wein menawarkan untuk membayarnya $5,000 (RM21,195) untuk membunuh bekas suaminya sebelum dia ditahan Jumaat lalu.
Wein mengaku salah atas tuduhan permintaan pembunuhan itu dan menyalahgunakan komputer untuk melakukan jenayah pada 12 November lalu.
Wanita itu yang kini di reman dengan jaminan AS$500,000 (RM2,119,500) bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup manakala bagi kesalahan kedua maksimum 20 tahun jika mengaku salah.
Sebelum kes Wein, pada 2018 lalu seorang lelaki Virginia, Devon Barber, 20, menghubungi Bob Innes dan berkata dia mahu mengupah seseorang untuk membunuh bekas teman wanitanya serta ibu bapa wanita itu.
Dia juga mahu pembunuh itu menculik anak perempuan wanita itu berusia 3 tahun untuk dibesarkan sebagai miliknya. Barber akhirnya ditahan polis dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.
Innes berkata, dia juga menerima e-mel pada 2010 daripada seorang wanita bernama Helen yang mengatakan dia berasal dari United Kingdom. Wanita itu mendakwa, namanya telah dikeluarkan daripada waris bapanya, dan dia mahu mereka yang mengeluarkan namanya mati.
EmoticonEmoticon