Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan menyeludup lima wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), awal bulan lalu.
Tertuduh, Muhd. Nor Hafifi Khanapiah 33, yang berpangkat koperal didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama dua rakannya, Mohd. Azhar Mohammad, 28 dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama telah menyeludup lima migran wanita warga Thailand iaitu Yuyanee Yusoh, Nuriyah Mama, Romlah Saa, Haleemoh Chairesai dan Rorpee-Ah Dorloh.
Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira pukul 10 malam pada 6 Oktober lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 20A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala hanya Muhammad Rahmat diwakili peguam bela Shaharuddin Mohamed. Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk memanggil dan merekodkan keterangan kesemua migran yang terlibat dalam kes itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan, cubaan seorang anggota polis berpangkat koperal menyeludup PATI untuk dijadikan pekerja restoran gagal apabila dia diberkas bersama dua rakannya di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Tanah Merah.
Anggota PGA itu mengambil PATI dari pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dibawa bekerja di kedai makan di Selangor dan dipercayai menyewa MPV tersebut pada kadar RM450 sehari untuk melakukan aktiviti tersebut.
EmoticonEmoticon