Jumaat, 26 November 2021

Piranha Serang Dan Cederakan Berpuluh-Puluh Pengunjung Ketika Mandi Sungai


Kawanan piranha menyerang dan mengigit berpuluh-puluh pengunjung yang sedang leka mandi-manda di sebatang sungai di Argentina, menyebabkan ramai antara mereka mengalami kecederaan, lapor akhbar The Sun pada 24 November 2021.


Dalam kejadian tersebut, seorang remaja berusia 13 tahun dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas jari kakinya dikunyah oleh ikan tersebut, manakala seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun hilang sebahagian daripada jarinya.


Kira-kira 30 pengunjung lain dilaporkan turut tercedera dalam serangan serentak dan secara tiba-tiba itu di Sungai Parana di Santa Fe, Argentina. Kebanyakan mangsa mengalami luka pada buku lali, jari dan tangan.


Sementara itu, wakil sebuah kesatuan bagi anggota penyelamat di kawasan tersebut, Sergio Berardi berkata, serangan itu disebabkan oleh suhu yang tinggi dan kadar air yang rendah.



"Kami sering menekankan mengenai kepentingan untuk mematuhi arahan penyelamat terutamanya dalam kalangan keluarga dengan kanak-kanak. Kini, kita telah melihat kemusnahan yang telah diakibatkan oleh piranha.


"Apabila anggota penyelamat melihat seorang atau dua pengunjung digigit piranha, mereka akan mengarahkan pengunjung lain untuk keluar dari air. Namun, tindakan itu tidak mencukupi kerana ramai pengunjung berada di situ pada waktu tersebut," katanya.


Tambahnya, anggota penyelamat bertugas ketika kejadian turut bergegas membantu pengunjung yang cedera, dan pada masa sama terdapat yang lain turut diserang.


"Ikan piranha sering berenang di bahagian beting sungai, jadi terdapat banyak serangan dilakukan serentak," katanya.


Pada tahun 2013 lalu, lebih 60 orang cedera dalam serangan piranha besar-besaran di sungai yang sama. Ketika itu, pengunjung yang cuba menyejukkan badan dalam sungai berlari keluar dari air dalam keadaan berdarah akibat kecederaan.


Ada yang menjerit meminta pertolongan, manakala ibu bapa kepada kanak-kanak yang berada di dalam air bergegas membantu mereka untuk mengheret ke tempat yang selamat.


Seorang remaja 13 tahun dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas jari kakinya dilapah oleh piranha. - Foto CEN.


EmoticonEmoticon