Khamis, 4 November 2021

'Pelanggan sendiri mahu siakap itu, tidak mahu ikan lain' - Pemilik restoran


Pemilik restoran terapung yang tular kerana menjual hidangan siakap bernilai lebih RM1,000 di Taman Geoforest Karst Kilim di Langkawi, menyatakan pelanggan tersebut yang memilih ikan tersebut walaupun telah diberitahu saiz ikan adalah sangat besar.


"Saya sudah mencadangkan kepada pelanggan itu supaya ambil ikan lain seperti siakap merah atau kerapu dengan saiz antara satu hingga 1.5 kilogram (kg), ia lebih sesuai untuk dijadikan hidangan," kata pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa.


Menurutnya, dia sendiri yang mengambil pesanan pelanggan terbabit dan memintanya untuk melihat ikan yang dipesan sebelum dimasak tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian.


"Saya sudah menerangkan kepada pelanggan bahawa ikan tersebut biasanya tidak dijual, tetapi dibela dalam sangkar untuk dijadikan tontonan pengunjung restoran.


"Harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu restorannya iaitu RM16 bagi setiap 100 gram, dan ikan yang dipesan itu seberat lebih 7 kg," katanya.


Dia turut menafikan dia ada mengenakan caj tambahan bagi pembayaran menggunakan kad kredit seperti yang didakwa pelanggan tersebut. Dia berkata demikian ketika dihubungi hari ini untuk menjawab dakwaan pelanggan berkenaan.


Katanya, pesanan pelanggan tersebut mempunyai dua helai resit masing-masing berjumlah sebanyak RM1759.50 dan RM93, namun pelanggan tersebut hanya memuat naik resit yang lebih tinggi nilainya.


Semalam, satu resit dimuat naik individu sebelum ia tular di media sosial yang mengatakan harga ikan siakap dipesan terlalu mahal, yang tertera ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang berharga RM1,196.80.


Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain adalah RM1,852.50 untuk tujuh orang makan. - Sumber Kosmo Online.


Resit ditunjukkan lelaki itu apabila mendakwa terpaksa membayar RM1196 bagi seekor ikan siakap di Langkawi.


EmoticonEmoticon