Jumaat, 5 November 2021

NASA Rakam Foto Bintang Sedang 'Nazak' Menyerupai Portal Ke Dunia Asing


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan sebuah imej bintang gergasi yang sedang mati, yang disifatkan kelihatan seperti portal ke dunia asing, lapor akhbar Daily Star pada 31 Oktober 2021 lalu.


Bintang merah yang telah tua itu dirakam oleh Teleskop Angkasa Hubble NASA, dikenali sebagai CW Leonis dan mempunyai 'sinaran mengerikan' yang memancar ke seluruh angkasa lepas. Ia adalah bintang karbon yang paling hampir dengan Bumi sejauh 400 tahun cahaya.


"Foto bintang gergasi merah CW Leonis yang semakin tua itu kelihatan seperti sesuatu daripada kisah Halloween. Bintang itu kelihatan seperti terperangkap di dalam sarang labah-labah jingga yang membungkusnya," demikian kenyataan dikeluarkan NASA.


Menurut NASA lagi, walaupun bintang tersebut kelihatan seperti 'vorteks hipnotis', ilusinya yang menyeramkan sebenarnya berlaku disebabkan oleh keadaannya yang kehabisan bahan api.


"Memandangkan CW Leonis menghampiri penghujung jangka hayatnya, ia telah berhenti menggabungkan hidrogen dalam teras dan telah mula menggabungkannya pada lapisan luarnya.


"Pancaran cahaya terang yang memancar keluar dari CW Leonis adalah salah satu ciri bintang yang paling menarik. Ia telah berubah dalam kecerahan dalam tempoh 15 tahun iaitu jangka masa yang sangat singkat dari segi astronomi," kata NASA.


Bintang itu kelihatan seperti terperangkap di dalam sarang labah-labah jingga yang membungkusnya. - Foto ESA/Hubble & NASA.


EmoticonEmoticon