Ahad, 28 November 2021

NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid, Misi Persediaan Menghadapi Ancaman Sebenar


NASA sedang menyediakan misi untuk menghentam asteroid menggunakan kapal angkasa. Misi itu adalah satu ujian sekiranya manusia perlu menghentikan ancaman batu angkasa gergasi daripada menghapuskan kehidupan di Bumi.


Memetik laporan New York Post pada 24 November 2021, ujian Haluan Semula Asteroid Berganda (DART) itu dilancarkan di atas roket Falcon 9 milik SpaceX dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Ia mungkin kedengaran seperti bahan fiksyen sains, tetapi DART ialah eksperimen bukti konsep sebenar, yang telah berlepas dari tapak pelancaran pada 10:21 malam Waktu Pasifik pada 23 November lalu.


Sasarannya adalah untuk mengubah sedikit trajektori asteroid anak bulan Dimorphoss sekitar 525 kaki (160 meter atau sepanjang dua Patung Liberty). Ia mengelilingi asteroid yang lebih besar dipanggil Didymos (diameter 762 meter) dan kedua-duanya mengorbit matahari secara bersama.


Impak hentaman akan berlaku pada musim luruh 2022 apabila sistem asteroid binari berada pada jarak 11 juta kilometer dari Bumi, titik terdekat yang pernah direkodkan.



"Apa yang kami cuba pelajari ialah bagaimana untuk menangkis ancaman," kata saintis terkemuka NASA, Thomas Zuburchen mengenai projek AS$330 juta (RM1.4 bilion) itu.


Bagaimanapun, setakat ini Bumi tidak menerima ancaman daripada asteroid berkenaan tetapi ia tergolong dalam kelas Objek Dekat Bumi (NEO) atau asteroid dan komet yang menghampiri dalam jarak 48 juta kilometer.


Pejabat Pelarasan Pertahanan Planet NASA bagaimanapun berminat dengan objek yang lebih besar daripada 140 meter yang berpotensi untuk meratakan seluruh bandar, atau wilayah dengan kekuatan berkali ganda daripada purata bom nuklear.


Dilaporkan, terdapat 10,000 asteroid berdekatan bumi yang berukuran 140 meter yang dikenal pasti, namun tidak diketahui yang mana akan menghentam Bumi dalam masa 100 tahun akan datang. Saintis juga berpendapat masih ada 15,000 lagi objek sedemikian yang menunggu untuk dikenal pasti.


Sebuah kapal angkasa yang dilancarkan untuk menghentam asteroid dan menguji sama ada ia mampu memecahkan batu daripada laluan sekira ia mengancam bumi. - Foto AF.


EmoticonEmoticon