Selasa, 2 November 2021

Lelaki Sesat Lebih 2 Bulan Di Kawasan Paling Sejuk Dunia Ditemui Selamat


Seorang lelaki yang tersesat di kawasan terbiar yang dipenuhi beruang, di salah satu kawasan paling sejuk ditemui masih bernyawa sebaik diselamatkan selepas lebih dua bulan dilaporkan hilang, lapor New York Post pada 28 Oktober 2021.


Yegor Krivoshapkin, 45, dijumpai dengan luka beku (frostbite) memenuhi badan di kawasan berpenduduk paling sejuk di dunia, dua minggu selepas pasukan penyelamat berputus asa dan mengatakan dia tidak mungkin selamat.


Bapa tiga anak itu ditemui pada jarak 305.8 kilometer dari lokasi hilang di Yakutia, 'kerajaan ais' Siberia, bahkan dia berjaya mengelak daripada diserang beruang coklat dan serigala ketika merayau di kawasan berkenaan.


Namun Yegor yang juga pengembala rusa kutub itu menyebabkan pasukan penyelamat tertanya-tanya, selepas dia sukar menjelaskan keberadaannya dan bagaimana dia terselamat. Lelaki itu hilang pada Ogos, akhir musim panas dan ditemui ketika suhu menurun hingga -20 darjah Celsius.


Terdapat laporan menyebut Yegor menemui makanan tin berusia 40 tahun dalam salji, yang dicampakkan di kawasan berkenaan ketika zaman Soviet sebagai bekalan kecemasan untuk pengembala yang hilang.


Yakutia is the planet’s coldest populated region.

Saudara-saudaranya telah diberi amaran bahawa "tiada sesiapa akan selamat dalam cuaca begitu, anda perlu realistik" tetapi mereka enggan berputus asa dan terus berharap.


Mirror UK melaporkan keluarga Yegor mengupah peramal, Maria Kupriyanova atau dikenali Sanaaya yang menjangkakan lelaki itu akan dijumpai pada hari penting keluarga.


"Dia dijumpai pada hari jadi cucu saya. Syukur dengan ramalannya. Adakah ini mistisisme atau realiti?" kata kakak Yegor, Svetlama.


Katanya, Yegor tiba-tiba muncul di khemah yang ditinggalkan oleh pengembala rusa di kutub Rodion Golikov, yang dilengkapi dengan dapur dan bekalan. Helikopter Polar Airlines mengambil masa lima hari untuk mengesan kedudukan Yegor dan membawanya keluar selepas ditemui penduduk di khemah tersebut.


Dia dihantar ke Hospital Batagay dan menerima rawatan intensif hingga stabil. Kepada kakaknya, Yegor bercerita bahawa dia tidur 'di bawah pokok' dan mengalami pitam serta dalam keadaan tidak sedar ketika merayau sendirian.


Yegor sesat selama dua bulan dalam 'kerajaan ais' dan dijumpai lebih 300km dari lokasi hilang di Yakutia, Siberia. - Foto The Siberian Times.

Pasukan penyelamat yang menyelamatkan Yegor selepas hilang selama lebih 2 bulan. - Foto The Siberian Times.


EmoticonEmoticon