Seorang pemilik sebuah perniagaan di pulau Lemnos di Greece, hampir berputih mata apabila tanpa sengaja telah membuang wang tunai berjumlah £16,000 (RM89,842) yang disangkanya sampah sarap, lapor Daily Star pada 5 November 2021.
Individu yang tidak didedahkan identitinya itu telah meletakkan wang tunai tersebut di dalam dua bungkus beg plastik sampah. Dia berbuat demikian kerana mahu mendepositkan wang tersebut ke dalam sebuah bank Isnin depan.
Selain mahu menyimpan wang, lelaki itu juga ingin membuang beberapa kotak berisi sampah sarap. Dia kemudiannya membuang plastik sampah yang ada padanya bersama plastik berisi wang tunai tersebut sebelum kembali semula ke kedainya.
Lelaki berkenaan kemudiannya tersedar akan kesilapannya selepas mendapati tiada wang di dalam mesin daftar tunai di kedainya.
"Saya melihat sekeliling dan menyedari beg yang penuh dengan wang itu tidak ada lagi dan tersedar akan kesilapan yang telah saya lakukan.
"Saya mula panik dan berlari ke luar untuk menahan sebuah kenderaan majlis perbandaran yang sedang melalui kawasan kedai serta memaklumkan kepada tiga orang pekerjanya tentang apa yang telah berlaku," katanya.
Pekerja majlis perbandaran itu kemudiannya menjejaki lori sampah yang membawa sampah bersama wang tunai tersebut sebelum ia tiba di kawasan pembakaran.
Mereka akhirnya berjaya menemui beg plastik sampah pertama dan kemudiannya menemui plastik sampah kedua yang berisi wang tunai tersebut.
EmoticonEmoticon