Ahad, 14 November 2021

Lelaki Dakwa Pengembara Masa Berada Pada Tahun 2027 Dedah Rakaman Video Kepupusan Manusia


Seorang lelaki memberitahu orang ramai bahawa dia seorang pengembara masa yang terperangkap pada tahun 2027, dan mendedahkan sebuah rakaman video pada 8 November lalu menunjukkan sebuah bandar terbiar.


Dalam video itu dapat dilihat keadaan lengang di pusat bandar Barcelona disebabkan 'malapetaka yang amat dahsyat' dakwa lelaki itu yang masih berada pada tahun 2027, lapor akhbar Daily Star pada 9 November 2021.


Javier, yang mempunyai sehingga 6.5 juta pengikut di akaun TikTok mendakwa bahawa makhluk asing akan menakluki dunia dalam masa terdekat, sekali gus mengakibatkan ramai umat manusia pupus.


Dia yang dikatakan berada pada tahun 2027 mendakwa masih hidup dan mempunyai sambungan internet untuk berkongsi video tersebut dengan para pengikutnya.


Menerusi video yang didakwa dirakam di Barcelona, jalan-jalan raya dilihat lengang selain bangunan-bangunan turut kosong.


Meskipun terdapat kenderaan-kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan burung-burung turut terbang, tiada seorang pun manusia dilihat berada di dalam video itu.


Walaupun terdapat sebilangan pengikutnya yang percaya akan ketulenan video tersebut, terdapat juga yang mempersoalkan keasliannya dengan mendakwa bahawa video itu berkemungkinan dirakam ketika pelaksanaan perintah berkurung Covid-19.


"Cuba anda lakukan penstriman langsung di sebuah kawasan yang kebiasannya sesak dengan orang ramai untuk membuktikan bahawa anda benar-benar berada pada tahun 2027," kata seorang pengguna.


"Dari mana anda mendapatkan sambungan internet?" soal seorang netizen lagi. Video itu setakat ini telah menerima lebih dua juta tontonan dengan beribu-ribu komen daripada netizen.


Menerusi video yang didakwa dirakam di Barcelona, jalan-jalan raya dilihat lengang selain bangunan-bangunan turut kosong. - Tangkap layar video TikTok.


EmoticonEmoticon