Sebelum ini, tular di media sosial seekor burung merpati dijual pada harga 1.5 bilion rupiah (RM439,771). Burung merpati dengan nama Jaguar itu menjadi burung termahal yang pernah dijual di kalangan penggemar merpati.
Tidak lama selepas itu, terdapat seekor lagi burung merpati yang dijual pada harga yang lebih tinggi. Burung merpati bernama Rampok itu dijual dengan harga 2 bilion rupiah (RM586,361).
Menerusi laporan laman berita Suara.com pada 20 November 2021, Yunius Martin, 41, dari wilayah Jawa Tengah, membeli burung merpati istimewa yang bernama Rampok itu daripada seorang lelaki dari Jawa Barat.
Menurut Yunius, pada awalnya, burung yang mempunyai bulu berwarna putih dan coklat itu mahu dibeli pada harga 1.7 bilion rupiah (RM498,407), namun pemiliknya hanya bersetuju untuk menjual burung itu pada harga 2 bilion rupiah (RM586,361).
Tambahnya, transaksi pembelian Rampok berlaku kira-kira dua minggu selepas berita mengenai penjualan seekor burung merpati bernama Jaguar menjadi tular di media sosial.
Rampok dijual pada harga yang sangat mahal kerana ia sering menjadi juara dalam acara pertandingan burung merpati di beberapa kota antaranya Jakarta, Pekalongan dan Semarang yang menawarkan hadiah sebuah kereta.
Malah, dalam pertandingan yang diadakan di Semarang bulan lalu, merpati berusia 2 tahun setengah itu berjaya menewaskan Jaguar. Sebagai burung merpati istimewa, Rampok kini dipelihara di dalam sangkar khas yang terletak di sangkar merpati Yunius di Desa Mejasem Timur.
"Rampok berada di sini selama dua minggu. Dia sedang dipersiapkan untuk acara pertandingan di Kabupaten Tegal pada Mac 2022," kata Yunius yang mempunyai pasukan bernama Baron.
EmoticonEmoticon