Sabtu, 20 November 2021

Ketulan Emas Terbesar Ditemui Di Alaska Dilelong RM4.17 Juta


Selepas 23 tahun ditemui, sebutir ketulan emas terbesar ditemui di Hemisfera Barat, mahu dijual kepada para pembeli dalam satu lelongan di Dallas, Amerika Syarikat, pada bulan depan pada harga AS$1 juta (RM4.17 juta).


Menerusi laporan Metro.co.uk pada 15 November 2021, ketulan yang beratnya lebih sembilan kilogram (kg) itu ditemukan oleh pelombong emas Barry Clay di Swift Creek di Alaska pada 1998.


Dia menemui logam berharga itu, ketika menolak tanah dengan menggunakan jentolaknya di sepanjang lombong Swift Creek.


Lebih 90 peratus dalam ketulan batu yang ditemui itu adalah emas serta mempunyai saiz sebesar kepala kanak-kanak. Beratnya ringan sedikit berbanding ketulan emas 'Boot of Cortez' yang ditemui di Mexico yang hampir 10kg.


Clay dilaporkan telah menanam ketulan emas itu dekat sebatang pokok dan kemudian memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap penemuan batu berharga itu.


Akhirnya, dia menjual ketulan emas itu kepada seorang pemilik tetapi kini mahu dilelong menerusi Firma Heritage Auction. Penjual itu memperoleh ketulan emas tersebut daripada Clay lebih 20 tahun lalu.


Jurucakap lelongan berkata, ketulan emas itu adalah terbesar yang pernah ditemukan di Alaska. Ia mencipta sejarah dan dijual kepada pengumpul persendirian di mana ia kekal dalam koleksinya sehingga sekarang.


Tetapi ketulan emas yang terkenal itu hanyalah sebahagian daripada barisan besar kristal berharga dan artifak di lelongan berkenaan. Lelongan itu difahamkan akan berlangsung pada 8 Disember ini.


Ketulan emas terbesar di Alaska akan dilelong di Dallas pada bulan depan. - Foto Heritage Auctions.


EmoticonEmoticon