Rabu, 17 November 2021

Kerbau Enggan Hasilkan Susu, Lelaki Bawa Ke Balai Polis Meminta Bantuan


Seorang lelaki di Madhya Pradesh, India, membawa kerbau peliharaannya ke sebuah balai polis kerana haiwan itu enggan menghasilkan susu, lapor laman berita Free Press Journal pada 14 November 2021 lalu.


Babulal Jatav, membawa haiwan ternakan itu ke balai polis Nayagaon yang terletak di daerah Bhind. Dia merayu bantuan dari pihak polis kerana kerbau tersebut tidak menghasilkan susu sejak dibelinya.


"Babulal mengadu kepada pegawai bertugas bahawa kerbau peliharaannya tidak menghasilkan susu. Justeru, dia meminta bantuan polis untuk menyelesaikan masalah tersebut," jelas laporan itu.


Media tempatan melaporkan, Babulal yang berasal dari kampung Nayagaon pada mulanya mengemukakan aduan bertulis mengenai masalah dialaminya di balai polis tersebut.


Babulal kemudian kembali semula ke balai polis tersebut dengan membawa kerbau peliharaan bersamanya, dan meminta bantuan untuk memerah susu haiwan itu.


Rakaman video mengenai insiden itu menjadi tular dalam laman media sosial. Kisah itu menarik perhatian rata-rata warganet yang terhibur dengan video berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Penguasa Polis, Arvind Shah berkata, lelaki itu berasa kecewa dengan kerbau peliharaan yang baharu dibelinya.


"Memandangkan haiwan itu tidak menghasilkan susu, seorang penduduk dari kampung itu menasihatinya untuk meminta bantuan polis. Kami akan membantu lelaki itu dalam apa jua cara kerana dia datang dengan mengharapkan bantuan," katanya.


Babulal Jatav bersama kerbaunya tiba di balai polis. Foto Tushar_kn.


EmoticonEmoticon