Selasa, 30 November 2021

Kerana Percayai Jelmaan Mendiang Suami, Wanita Berkahwin Dengan Lembu


Seorang wanita di Kemboja dilaporkan berkahwin dengan seekor lembu, selepas mempercayai haiwan itu merupakan jelmaan suaminya yang sudah meninggal dunia, lapor akhbar The Sun pada 27 November 2021.


Khim Hang, 74, yang tinggal di wilayah timur laut Kratie, Kemboja berkata, dia berkahwin dengan lembu tersebut selepas mendapati haiwan itu melakukan beberapa perkara yang sama seperti dilakukan oleh mendiang suaminya, Tol Khut.


Kata Hang, roh suaminya datang kepadanya apabila lembu itu menjilat rambut, lehernya, kemudian menciumnya dan mengikutnya ke tingkat atas, ia cukup untuk meyakinkannya bahawa Khut dilahirkan semula.


"Saya percaya lembu ini merupakan jelmaan suami saya kerana apa sahaja dilakukannya adalah sama dengan dilakukan oleh Khut ketika dia masih hidup. Saya dapat merasakan roh suami saya ketika berada bersama lembu itu," katanya kepada Reuters.



Sebuah video menunjukkan Hang 'hidup sebumbung' dengan lembu itu, menjadi tular dalam laman media sosial. Upacara perkahwinan Hang tidak dipaparkan dalam video tersebut namun kebanyakan penduduk kampung mendakwa majlis itu telah berlangsung.


Dalam video tersebut, Hang kelihatan sedang membawa lembu itu naik ke tingkat atas rumahnya. Hang kemudian memandikan lembu itu dan membenarkannya berada atas tilam yang digunakan mendiang suaminya.


Sementara itu, anak lelaki Hang berkata, dia juga mempercayai kata-kata ibunya dan sentiasa memastikan lembu itu tidak berkeliaran jauh dari rumah, kerana dia dapat merasakan 'roh bapanya' dalam haiwan itu.


Wanita itu telah melarang anak-anaknya daripada menjual atau menganiaya lembu itu selepas kematiannya, dan sebaliknya perlu menjaga 'bapa' mereka sehingga haiwan itu meninggal dunia. - Sumber The Sun.


Khim Hang, 74, duduk di bilik tidurnya bersama seekor lembu yang dipercayainya jelmaan suami yang dilahirkan semula. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon