Khamis, 25 November 2021

Hujan Batu Dan Salji Turun Lagi Di Arab Saudi


Bahagian utara Arab Saudi dilitupi lapisan hujan batu dan salji halus sejak Ahad lalu ketika suhu menjunam kepada kira-kira 7 Celcius. Beberapa imej yang tersebar di media sosial menunjukkan salji meliputi bandar Quraiyat yang terletak di Wilayah Al Jawf, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Jordan.


Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi berkata, ribut petir disertai angin kencang dan hujan batu akan turun merentasi Al-Jawf, sempadan utara dan Tabuk serta kawasan pantai di wilayah Madinah, lapor Arab News pada 22 November 2021.


Memetik laporan The National News pada 9 November 2021 pula, Al Shafa, sebuah kawasan di bahagian barat turut dilanda salji dan hujan batu yang lebat sehingga menutupi pergunungan Dhaka dan jalan raya di situ.


Pun begitu, cuaca sejuk, hujan renyai dan hujan ais dengan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi itu bagaimanapun memberi kegembiraan untuk mereka yang jarang melihatnya.


Orang ramai mengambil kesempatan memuat naik gambar dan video hujan ais di padang pasir, di laman sosial, bagi berkongsi kegembiraan serta mengalukan cuaca musim sejuk.



Mereka juga sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mandi hujan selain menadah hujan dan hujan ais di tangan mereka.


"Ia adalah satu kejutan yang menyenangkan. Kami memandu ke wilayah timur dari Riyadh untuk hujung minggu dan dalam perjalanan pulang, hujan tiba-tiba turun.


"Kami mengalami tempoh musim panas yang panjang dan kini akhirnya diberi nikmat musim sejuk. Saya merancang untuk pergi ke London, tetapi tidak perlu lagi. Kami mempunyai cuaca hebat di sini," kata Tala Hamdan, rakyat Arab Saudi.


Pusat Meteorologi Negara melaporkan suhu dijangka menurun di seluruh negara pada minggu akan datang berikutan cuaca buruk dan hujan berpanjangan. Pusat itu juga meramalkan hujan untuk semua kawasan di seluruh negara.


"Berikutan hujan yang melanda kawasan pesisir minggu lalu, angin sejuk dan hujan akan merebak ke kawasan utara dan timur negara, serta Riyadh dan Qassim," kata pusat berkenaan.


Walaupun Arab Saudi, dikenali sebagai negara berpadang pasir yang sentiasa berada dalam keadaan cuaca panas, beberapa kawasan di negara ini sememangnya tidak terkecuali dari dilanda cuaca sejuk dan salji setiap tahun.


Tangkap Layar video menunjukkan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi.


EmoticonEmoticon