Ahad, 7 November 2021

Dua Jam Tangkap Ular Sawa Seberat 80kg Kerana Bertindak Agresif


IPOH - Seekor ular sawa batik seberat 80 kilogram ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sebuah padang golf di Meru Raya di sini pada Jumaat lalu.


Kehadiran reptilia sepanjang 5.4 meter itu disedari oleh orang awam yang melalui lokasi itu dan melihat seekor ular sedang berlingkar dalam semak di tepi padang golf.


Ketua Shift APM Daerah Kinta, Leftenan Muda (PA) Mohd Nazri Sulaiman berkata, reptilia itu berjaya ditangkap selepas menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12 tengah hari.


Menurutnya, dia bersama empat anggota mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap ular berkenaan kerana reptilia itu bertindak agresif dipercayai kelaparan.


"Ketika kami sampai, ular itu melingkar dalam semak di tepi padang golf yang dibimbangi membahayakan pengunjung dan penduduk berhampiran.


"Reptilia itu mula bertindak agresif ketika ditangkap selain menyerang anggota dipercayai kerana lapar. Kami menggunakan alat khas untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi di sini.


Kata Mohd Nazri, reptilia berkenaan dibawa ke Pejabat APM Daerah Kinta dan akan dilepaskan ke habitat asal.


Ular sawa batik melingkar dalam semak di tepi padang golf di Meru Raya. - Foto APM Daerah Kinta.


EmoticonEmoticon