KUALA SELANGOR - Pelanggan yang berurusan di sebuah bank di Sungai Buloh, Jeram, gempar dengan kehadiran seekor biawak tersesat dan mahu memasuki premis itu, semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu disedari beberapa orang awam yang terkejut melihat reptilia sepanjang tiga meter tersebut berada di depan pintu cuba masuki premis berkenaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, sepasukan lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati biawak seberat 20 kilogram itu masih berada di hadapan bank berkenaan.
"Pada waktu itu, reptilia terbabit dilihat cuba memasuki premis tersebut dengan cuba menolak pintu cermin.
"Operasi penangkapan kemudian dilakukan dengan menggunakan alat penjerut untuk mengelakkan biawak itu bertindak agresif," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suzaini berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap reptilia berkenaan dan ia dilepaskan ke kawasan parit berhampiran.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan termasuk melibatkan orang awam yang berurusan di bank berkenaan.
"Kami percaya biawak itu tersesat dari kawasan berdekatan dan mahu memasuki bank kerana faktor sejuk atau kelaparan," katanya.
EmoticonEmoticon