Jumaat, 26 November 2021

Bawa Balik Salinan Drama Squid Game, Lelaki Korea Utara Dijatuhi Hukuman Mati


Seorang lelaki di Korea Utara dikenakan hukuman mati atas kesalahan membawa balik salinan drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game ke negara itu, lapor Daily Mail pada 25 November 2021.


Lelaki yang juga merupakan seorang pelajar itu dipercayai telah menyeludup masuk salinan drama tersebut dari China, dalam bentuk digital yang disimpan dalam pemacu USB.  


Lelaki itu ditahan oleh anggota perkhidmatan pengawasan negara selepas didapati menjual salinan drama itu kepada orang ramai, turut ditahan beberapa orang pelajar sekolah yang menonton drama tersebut.


Penahanan itu dipercayai berlaku pada minggu lalu di wilayah utara Hamgyong yang bersempadan dengan China. Difahamkan, skuad penembak akan melaksanakan hukuman mati terhadap lelaki berkenaan.


Radio Free Asia melaporkan seorang pelajar yang membeli salinan siri drama itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup, manakala enam lagi yang menonton filem tersebut dijatuhi hukuman melakukan kerja berat selama lima tahun.


Pihak berkuasa Korea Utara kini sedang mencari lagi bahan filem asing di sekolah pelajar berkenaan. Beberapa guru dan pentadbir sekolah turut didakwa dipecat atau mungkin akan dipaksa bekerja di lombong terpencil sebagai hukuman.


Kes seludup dan menonton bahan hiburan dari Korea Selatan ini bukan pertama kali berlaku, sebelum ini beberapa orang warga negara itu turut dijatuhi hukuman yang berat.


Laporan media yang meluas pada April tahun lalu juga mengatakan bahawa seorang lelaki telah dihukum bunuh secara terbuka kerana menjual pendrive dan CD yang mengandungi bahan hiburan dari Korea Selatan.


Seorang pelajar lelaki didakwa membawa salinan drama Squid Game dalam USB ke Korea Utara bakal dihukum mati. - Foto NETFLIX.


EmoticonEmoticon