Selasa, 23 November 2021

Ahli Astronomi India Temui Beberapa Bintang Lebih Panas Daripada Matahari


Sepasukan ahli astronomi India dilaporkan telah menemui beberapa bintang yang dikatakan lebih panas daripada matahari, mempunyai medan magnet luar biasa kuat dan angin bintang (stellar) yang lebih kuat, lapor laman berita Wion News pada 20 November 2021.


Pasukan ahli astronomi berpangkalan di Pune itu menemui bintang-bintang tersebut dengan menggunakan Teleskop Radio Gergasi Metwave (GMRT). Lapan bintang itu tergolong dalam kelas yang jarang ditemui dikenali sebagai Pemancar Nadi Radio Urutan Utama (MRPs).


Kumpulan saintis diketuai oleh ahli astronomi Pusat Astrofizik Radio Nasional (NCRA) itu menemui kelas bintang yang jarang ditemui. Dalam satu kenyataan akhbar, NCRA berkata, pasukan tersebut turut menemui tiga lagi bintang seperti itu sebelum ini dengan menggunakan GMRT.


Daripada kesemua 15 bintang jenis MRP yang ditemui setakat ini, 11 daripadanya dijumpai dengan menggunakan GMRT yang dinaik taraf (uGMRT), dan lapan daripadanya ditemui pada 2021. Kata NCRA, ia berkat lebar jalur yang luas dan sensitiviti tinggi uGMRT.


"Penemuan ini adalah hasil tinjauan berterusan menggunakan GMRT yang dilancarkan khusus untuk tujuan menyelesaikan misteri bintang MRP," katanya.


Kejayaan program GMRT telah merevolusikan tanggapan tentang kelas bintang ini dan membuka cabang baharu dalam mengkaji magnetosfera eksotiknya, kata NCRA.


Menurut kenyataan itu lagi, MRP pertama ditemui pada tahun 2000, namun selepas GMRT dinaik taraf, semakin banyak penemuan bintang sedemikian dilaporkan beberapa tahun kebelakangan ini.


Kata NCRA, kejayaan tinjauan dengan uGMRT mencadangkan bahawa tanggapan semasa MRP adalah objek yang jarang ditemui mungkin tidak betul. Sebaliknya, ia mungkin lebih biasa, tetapi sukar untuk dikesan.


"Ini disebabkan oleh fakta bahawa denyutan radio kelihatan hanya pada masa tertentu, dan fenomena itu kebanyakannya boleh diperhatikan pada frekuensi radio rendah.


"Ini adalah julat frekuensi di mana uGMRT menonjol sebagai teleskop paling sensitif di dunia. Kepekaan tinggi uGMRT dan keupayaannya untuk membuat imej resolusi tinggi memainkan peranan penting dalam membolehkan pemulihan isyarat berdenyut daripada pelbagai jenis sinaran datang dari langit.


 "Ini digabungkan dengan kempen pemerhatian strategik, membolehkan ahli astronomi mengatasi kesukaran, dan mendedahkan sifat sebenar objek ini," Kata NCRA.


Matahari bukanlah bintang paling panas di alam semesta ini. - Foto AFP.

Teleskop Radio Gergasi Metwave (GMRT). - Foto Wikipedia.


EmoticonEmoticon