Sekumpulan ahli arkeologi yang menggali sebuah vila di tengah-tengah runtuhan letusan gunung berapi 79 Masihi, yang memusnahkan bandar purba itu telah menemukan sebuah bilik sempit di bandar Pompeii, Itali, lapor The Telegraph pada 6 November 2021.
Proses penggalian vila yang ditimbus lahar letusan gunung berapi bersejarah itu menemukan sebuah asrama dan bilik simpanan sempit berserta katil kayu 'unik' yang boleh dilaras.
The Telegraph menyamakan penemuan purba itu sebagai 'model Ikea untuk dunia purba' kerana papan kayu boleh laras yang boleh diubah bergantung kepada saiz individu yang tidur di atas katil.
Katil itu mempunyai ukuran hampir 1.8 meter dan 1.2 meter sekali gus menunjukkan rumah itu didiami oleh sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak.
Menteri Kebudayaan Itali, Dario Franceschini berkata, penemuan itu adalah penting bagi meningkatkan pengetahuan tentang kehidupan seharian penduduk Pompeii.
Bilik itu ditemukan di sebuah vila di pinggir bandar Pompeii di Civita Giuliana yang hanya beberapa langkah dari tempat ahli arkeologi menemukan kereta mayat yang masih terpelihara.
Ruang itu hanya mempunyai sebuah tingkap tinggi dan tidak mempunyai sebarang perhiasan dinding serta mengandungi tiga katil yang diperbuat daripada kayu.
Pengarah Tapak Arkeologi Pompeii, Gabriel Zuchtriegel berkata, penemuan berkenaan memberi bayangan golongan hamba yang bekerja di kawasan itu tidur di bilik tersebut pada waktu malam.
Ahli arkeologi juga telah menemui sisa rangka milik dua orang lelaki, dipercayai seorang hamba dan tuannya, yang terkorban akibat terkena abu gunung berapi ketika cuba menyelamatkan diri.
EmoticonEmoticon