Jumaat, 1 Oktober 2021

Wanita Sangka 'Makhluk Asing Mendarat Di Bumi' Selepas Terlihat Kelibat UFO Di Langit


Seorang wanita menyangka makhluk asing telah mendarat di Bumi selepas dia berjaya merakam beberapa gambar, yang pada awalnya difikirkan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star pada 28 September 2021.


Jayne Dickinson, 47, mengembara ke Istana Bamburgh di Northumberland untuk merakam gambar aurora atau cahaya polar, namun dia terlihat kelibat sebuah 'pesawat' yang mempunyai bentuk aneh.


Berdasarkan foto-foto yang dirakam, objek seakan pesawat itu sedang terbang di langit pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) pada Isnin 27 September lalu.


"Saya sedang mencari cahaya aurora namun tidak kelihatan. Ketika sedang berjalan ke arah kereta, saya tiba-tiba ternampak satu objek bercahaya terang di atas langit.


"Ia kelihatan menakjubkan dan saya terus mencapai kamera lalu merakam gambarnya. Saya fikirkan bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi," katanya.


Bagaimanapun, jangkaannya itu meleset sama sekali apabila mendapati objek yang dirakam itu sebenarnya merupakan sebuah roket milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).


"Sejurus saya pulang ke rumah, saya memeriksa apakah objek tersebut dan menyedari bahawa ia sebenarya adalah satelit NASA Landsat-9 yang dilancarkan di California, Amerika Syarikat," katanya.


Objek menyerupai UFO yang dirakam Dickinson ternyata merupakan sebuah satelit milik NASA. - Foto Hull Live.


Istana Kota Bamburgh merupakan tapak bersejarah yang terletak di persisiran pantai Northumberland. - Foto Daily Mirror.


EmoticonEmoticon