Sabtu, 23 Oktober 2021

Wanita Mati Ditembak Selepas Menyamar Sebagai Hantu Untuk Menakutkan Jirannya


Tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai hantu dengan niat untuk menakut-nakutkan jirannya berakhir tragedi, apabila dia mati ditembak oleh seorang penduduk di bandar Mexico, lapor New York Post pada 22 Oktober 2021.


Ketika kejadian, mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu dikatakan sedang merayau-rayau di jalan-jalan di bandar Naucalpan de Juárez, Mexico dengan memakai sehelai gaun putih dan kerudung.


Wanita itu turut melaungkan kata-kata "Oh, anak-anakku", dalam nada menyeramkan dengan meniru aksi hantu dikenali sebagai 'La Llorona' di Amerika Latin.


Menurut kepercayaan penduduk tempatan, hantu 'La Llorona' sering berkeliaran di jalan-jalan sambil meratapi kematian anak-anaknya. Wanita tersebut dilaporkan berbuat begitu kerana mahu menakut-nakutkan penduduk di kawasan kejiranan San Miguel Doram pada 15 Oktober lalu.


Seorang penduduk berjaya merakam kelibat wanita itu tidak lama sebelum dia ditembak sebanyak beberapa das tembakan oleh seorang jiran yang takut melihatnya.


Menurut laporan tempatan, penembak yang ketakutan itu melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah wanita itu. Polis Perbandaran belum mendedahkan identiti mangsa dan hanya mengatakan mangsa berusia lingkungan 20-an.


Pihak berkuasa negeri telah melancarkan siasatan terhadap kejadian yang mengejutkan itu. Bagaimanpun, belum ada tangkapan dibuat berkaitan dengan insiden tembakan tersebut.


Wanita tersebut memakai gaun putih dan kerudung di kawasan gelap untuk menakut-nakutkan jirannya. - Foto Getty Images/iStockphoto.


EmoticonEmoticon