TANJUNG MALIM - Seekor ular sawa seberat 70 kilogram (kg) ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas reptilia itu kekenyangan menelan seekor kambing di sebuah kandang di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini semalam.
Reptilia itu ditemukan oleh salah seorang pekerja kandang kambing berusia 39 tahun ketika beliau sedang membersihkan kandang tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 2.30 petang semalam (1 September 2021).
Katanya, seramai empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian bagi menangkap ular sawa berkenaan yang sedang berlingkar di kandang kambing.
"Reptilia itu baru menelan seekor kambing di kandang tersebut dan ditangkap dalam masa 10 minit menggunakan peralatan khas.
"Ular sawa berkenaan tidak melawan ketika ditangkap kerana kekenyangan selepas menelan seekor kambing," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Shahrizal, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kandang itu dan APM membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu.
"Ular ini dibawa ke pejabat dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai," katanya.
EmoticonEmoticon