Rabu, 20 Oktober 2021

Tunggang Motosikal Secara Berbahaya, Empat Individu Ditahan Tiga Lagi Diburu


Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah dipercayai antara tujuh individu yang sebelum ini menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, tindakan tujuh individu itu tular dalam sebuah video di media sosial, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah menahan empat penunggang motosikal itu yang berusia antara 17 tahun hingga 18 tahun.


"Kesemua suspek ditahan pada pukul 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka. Salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah manakala tiga lagi pekerja kurier dan operator kilang," katanya.


Jelas Aidi Sham, keempat-empat suspek ditahan selama tiga hari bermula hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut, dan kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.


Katanya, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.


Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan baki tiga lagi penunggang motosikal yang dikenali sebagai Upa, Darwisy dan Afiq yang terlibat dalam rakaman video yang tular tersebut.


Sebelum ini, berita tempatan melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial pada Ahad lalu.


Video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.


Aksi tujuh penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.


EmoticonEmoticon