Tindakan seorang lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk dengan mengacukan senjata itu kepada kenderaan di jalan Temerloh-Maran, mengemparkan pengguna jalan raya berkenaan pada pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 11 pagi berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) itu, suspek yang tidak berbaju menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas kira-kira 3 kilometer, apabila ramai pengguna jalan raya tidak berani melalui kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.
Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja. Sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.
"Seorang lelaki yang tidak berpakaian mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.
"Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek," katanya.
EmoticonEmoticon