Simpan rambut sejak 26 tahun lalu. Itu yang dilakukan seorang wanita di Ukraine yang kini memiliki rambut sepanjang 1.65 meter sehingga mencecah kakinya.
Alla Perkova, 38, yang juga model rambut, tidak pernah menggunting rambutnya sejak berusia 12 tahun, lapor laman berita New York Post pada 15 Oktober 2021.
Katanya, dia boleh menggayakan rambut panjangnya itu kepada 50 gaya berlainan. Dia juga tidak menggunakan produk khas pada rambutnya dan mendakwa ia adalah hasil genetik yang diwarisi daripada ibunya, Maria Perkova.
"Ibu saya menjadi contoh seorang yang pandai menjaga kecantikan dan kewanitaan. Dia masih mempunyai rambut yang panjang dan sihat pada usia 79 tahun.
"Rambut saya berkilat dan sihat kerana mempunyai genetik dan kesihatan yang baik. Saya berterima kasih kepadanya kerana mengajar saya penjagaan yang betul," katanya.
Alla berkata, dia juga tidak mengikuti sebarang diet tertentu untuk membantu pertumbuhan rambutnya. Dia juga tidak mewarna rambutnya dengan pewarna dan produk tertentu atau menjalani prosedur khusus.
Menurutnya, dia hanya mencuci rambut selama 10 minit, setiap dua hari dan mengeringkannya dengan pengering rambut, selama setengah jam.
"Rambut saya yang berwarna coklat muda bertukar menjadi perang ketika berada di bawah sinaran matahari pada musim panas.
"Orang selalu terkejut ketika melihat rambut saya. Mereka mengatakan bahawa saya unik seperti puteri dari cerita dongeng," gurau Alla Perkova.
EmoticonEmoticon