Jumaat, 1 Oktober 2021

Sumbat Dalam Dubur, Cubaan Seludup Emas 1Kg Gagal


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini berikutan permintaan terhadap emas memuncak. Seorang penyeludup warga India menyumbat hampir satu kilogram (kg) emas berbentuk pes ke dalam duburnya, bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan pihak Kastam India.


Menurut lapor berita Daily Mail pada 29 September 2021. 'Keldai emas' itu ditahan Isnin lalu, selepas seorang pegawai keselamatan melihat 'objek mirip logam dalam rongga badan' suspek di lapangan terbang Imphal di timur laut Manipur.


Lelaki berkenaan, yang mahu ke New Delhi, ditahan untuk soal siasat dan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, kata Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat dalam satu kenyataan.


Pegawai kemudian membawanya ke bilik pemeriksaan perubatan, di mana keputusan imbasan X-ray di bahagian bawah badannya menunjukkan empat kapsul berisi pes emas seberat lebih 900 gram, bernilai kira-kira RM2.4 juta.



Permintaan terhadap emas memuncak dalam tempoh beberapa bulan menjelang hujung tahun di India, berikutan musim perkahwinan dan persiapan untuk perayaan kaum Hindu yang terbesar iaitu Deepavali dan Dussehra.


Pakar berkata, India adalah pengguna emas kedua terbesar di dunia dan penyeludupan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menukar logam berharga itu menjadi bentuk pes. Manipur yang bersempadan dengan Bangladesh menjadi laluan utama penyeludupan emas ke India.


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa menemukan jongkong emas yang dijahit pada pakaian atau tersembunyi di rongga mulut, selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk menyembunyikannya.


Pada Ogos lalu, Pusat Dasar Emas India berkata dianggarkan 300 tan emas diseludup ke negara itu setiap tahun, yang membawa kerugian besar dari segi hasil pendapatan cukai kepada kerajaan.


Bungkusan berisi pes emas yang ditemui disorok dalam dubur seberat hampir 1kg. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon