TOKYO - Dua dozen 'kapal hantu' dari era Perang Dunia Kedua timbul di permukaan Laut Pasifik susulan aktiviti gelombang seismik akibat gempa bumi. Kapal perang itu terdampar kira-kira 1,280 kilometer dari Tokyo berdasarkan rakaman dan gambar tersiar, lapor Mirror UK pada 28 Oktober 2021 lalu.
Aktiviti seismik di dasar gunung berapi Fukutoku-Okanoba menghasilkan pulau kecil berbentuk C berdiameter 1 kilometer, namun ia perlahan-lahan tenggelam dan kini dianggarkan satu pertiga daripada saiz asalnya.
Menurut agensi Pengawal Pantai Jepun, pulau kecil itu dibentuk oleh lava yang mengalir keluar ketika letusan berlaku kemudian ia mengeras, diperbuat daripada campuran batu apung dan debu gunung berapi.
Namun, letusan sama mengeluarkan 24 kapal yang tenggelam ketika perang Iwo Jima pada tahun 1945, membabitkan 70,000 tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan 20,000 tentera Jepun.
Kapal yang timbul itu dikatakan milik tentera Jepun yang karam selepas ditawan tentera laut AS dalam pertempuran berkenaan. Disebabkan Iwo Jima tidak mempunyai pelabuhan, kapal itu ditenggelamkan untuk bertindak pemecah ombak, menurut Akrib AS.
Ini bukan kejadian pertama kapal perang naik ke permukaan, memandangkan ia pernah berlaku 35 tahun lalu kerana aktiviti seismik sebelum karam semula.
Pengarah Pusat Promosi Kajian Gunung Berapi, Setsuya Nakada berkata, perubahan air laut yang merebak ke kawasan sekitar menandakan aktiviti gunung berapi belum selesai. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon