Satu video memaparkan sebuah pesawat Air India yang tersangkut di bawah jejambat pejalan kaki ketika dibawa melalui jalan raya di New Delhi, tular di laman media sosial sejak dua hari lepas.
Setakat ini, butiran mengenai pesawat, pembeli dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan. Pun begitu, menurut netizen, kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 1 pagi pada hari Ahad di jejambat Lebuh Raya Delhi-Gurugram berhampiran Lapangan Terbang New Delhi.
Menerusi laporan portal Republicworld.com, seorang jurucakap dari syarikat Air India mengesahkan pesawat yang dilupuskan itu telah dibatalkan pendaftarannya dan sudah dijual.
"Pesawat itu diangkut pada Sabtu lalu oleh pihak terlibat. Air India tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pesawat yang dalam keadaan apa pun. Ia merupakan pesawat lama yang sudah dilupuskan oleh syarikat kami," kata jurucakap itu.
Klip video itu menunjukkan kenderaan sedang bergerak di satu laluan di lebuh raya tersebut, sementara yang lain terhenti disebabkan pesawat tidak bergerak.
Bahagian depan pesawat itu dilihat melintas bawah jejambat pejalan kaki tersebut manakala separuh lagi badan kapal terbang tersekat.
Sementara itu, Lapangan Terbang New Delhi turut mengesahkan tidak ada pesawat yang beroperasi terlibat dalam insiden berkenaan.
EmoticonEmoticon