Selasa, 19 Oktober 2021

Pemancing Selamatkan Anak Kucing Dicampak Dari Jambatan Pulau Pinang


GEORGETOWN - Sebuah video berdurasi 18 saat yang tular di media sosial petang tadi memaparkan seorang lelaki menyelamatkan seekor anak kucing, yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, hari ini.


Pemandu bot pelancong, Sobri Karim, 36, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang nelayan untuk membantu membawa anak kucing itu ke jeti nelayan Batu Uban dekat sini untuk diselamatkan kira-kira pukul 3.30 petang.


Kata Sobri, dia dimaklumkan nelayan tersebut mengatakan bahawa anak kucing berbulu hitam itu dijumpai semasa dia sedang memancing ikan di tiang 67 di bawah Jambatan Pulau Pinang.


Jelasnya, nelayan berkenaan mendakwa anak kucing itu ditemukan sedang berenang menghampiri tembok tiang itu selepas dicampak kira-kira 20 meter dari atas jambatan.


"Nelayan yang sedang memancing tersebut kemudiannya terus membawa naik haiwan tersebut dengan menggunakan penyauk ikan. Saya terus ke lokasi penemuan anak kucing itu sejurus menerima panggilan untuk membantu membawa anak kucing itu pulang ke jeti," katanya.


Dalam pada itu, video anak kucing yang diselamatkan tersebut yang berdurasi kira-kira 18 saat dan dirakam Sobri tular di media sosial hari ini, dengan rata-rata netizen memuji dan melahirkan penghargaan atas usaha murni kaki pancing berkenaan menyelamatkan haiwan terbabit.


Sementara itu Sobri menambah, dia tidak menyangka ada individu sanggup bertindak kejam terhadap haiwan perliharaan tersebut tanpa perikemanusiaan.


Tangkap layar seorang kaki pancing menyelamatkan seekor anak kucing yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.


EmoticonEmoticon