Jumaat, 29 Oktober 2021

Pasangan Suami Isteri Terkejut, Harimau Muncul Depan Mata Menunggu Di tepi Jalan


Pasangan suami isteri yang baru sahaja terlepas cakap, tidak menyangka 'Pak Belang' betul-betul muncul depan mata tak lama kemudian, lapor laman berita Harian Metro, kelmarin.


Mohd Shahrum, 36, berkata, dia dan isterinya, Nurhidayahlaily Su'alman, 32, melalui Jalan Jemaluang menuju ke Tenggaroh kira-kira 8 pagi pada 27 Oktober lalu bagi melakukan perkhidmatan sanitasi.


"Waktu itu hujan gerimis, memang kami tergamam apabila melihat seekor harimau menunggu di tepi jalan, dan saya terus memberhentikan kereta, apabila saya cuba jalan (pandu kereta), harimau itu bangun.


"Kemudian harimau itu melintas, memang berderau darah melihat fizikalnya yang besar dan badannya yang melayut menjejak jalan.


"Dalam masa kira-kira dua minit itu, kami memang cemas, isteri yang sempat merakam gambar pun terketar-ketar dan selepas hilang dari pandangan, saya segera bergerak meninggalkan kawasan itu," katanya ketika dihubungi pada hari tersebut.


Menurutnya, dia kerap menggunakan laluan itu untuk bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu dan itu adalah kali pertama mereka mengalami pengalaman itu seumur hidup.


"Biasanya memang kami suka memberi monyet liar makan roti atau pisang di tepi Jalan Jemaluang itu, kalau nak kata gajah itu biasa kami nampak. Patutlah sejak empat hari lalu tidak kelihatan monyet di tepi jalan itu, rupa-rupanya ada Pak Belang di situ," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminudin Jamin ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.


Kelibat harimau yang sempat dirakam Nurhidayahlaily ketika terserempak dengan haiwan itu di Jalan Jemaluang menuju ke Tenggaroh di Mersing. - Foto Ihsan Mohd Shahrum Salleh.


EmoticonEmoticon