Banyak cerita mengenai objek terbang tidak dikenali (UFO) keluar dari seluruh dunia. Pelbagai cerita boleh kita dengar dari mereka yang berpengalaman melihatnya, tak kurang juga yang mengaku pernah diculik 'alien'.
Misteri UFO tidak pernah terungkai hingga sekarang oleh pengkaji Barat. Sejak tahun 1950-an manusia telah melihat objek misteri ini. Sejak itu ramai yang mengkajinya.
Menerusi laporan akhbar Daily Star pada Jun lalu, mengatakan bahawa UFO mempunyai kemampuan melebihi teknologi ketenteraan atau awam masa kini, serta dikatakan pernah mengganggu fasiliti nuklear.
Dakwaan itu disuarakan bekas ketua sebuah agensi penyelidikan UFO Amerika Syarikat (AS), Luis Elizondo. Katanya, objek asing tersebut pernah menyebabkan kemudahan nuklear tidak berfungsi sebelum ini.
"Pernah terjadi beberapa insiden di mana fenomena udara tidak dikenali (UAP) ini mengganggu dan mematikan fungsi keupayaan nuklear kita. UAP juga dilihat seperti 'berminat' dengan air, terutamanya senjata nuklear.
"Saya rasa sehingga kini, kita mempunyai data yang mencukupi bagi menggambarkan ia berminat dengan teknologi nuklear serta berpotensi untuk mengganggu teknologi tersebut," katanya kepada akhbar Washington Post.
Tambah Elizondo, walau apa jua di sebalik fenomena UAP tersebut, teknologi yang dimiliki UFO ternyata di luar jangkaan manusia. Katanya, pertama sekali adalah teknologi halaju hipersonik, iaitu kelebihan untuk mengubah arah secara pantas.
"Kemampuan bergerak berkelajuan tinggi objek tersebut tidak menyamai mana-mana keupayaan pesawat ketenteraan kerana ia pernah dilihat melakukan pusingan 90 darjah pada kelajuan hipersonik," ujarnya.
Menurut Elizondo, terdapat tiga kebarangkalian yang boleh menjelaskan fenomena UAP. Sama ada ia merupakan projek ketenteraan AS, teknologi canggih dari musuh asing atau sesuatu yang benar-benar berbeza.
EmoticonEmoticon