Selasa, 5 Oktober 2021

Pakar Dakwa Makhluk Asing Mungkin Suka Dipeluk Dan Tidak Ganas


Seorang ahli zoologi dari Universiti Cambridge di Britain menyifatkan makhluk asing mungkin sebenarnya tidak makan manusia seperti yang selalu digambarkan dalam filem sains fiksyen, sebaliknya ia suka dipeluk.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 3 Oktober 2021, Dr. Arik Kershenbaum mengatakan tiada sesiapa yang tahu rupa sebenar makhluk asing kerana wataknya lazimnya dimainkan oleh manusia. 


Menurut beliau, imej paling realistik tentang makhluk asing adalah mikroskopik dan sekiranya ia bersaiz besar, ia mungkin kelihatan seperti watak Tribble yang merupakan makhluk asing berbulu dalam filem Star Trek.


"Sekiranya saya perlu memilih rupa makhluk asing yang masuk akal, saya akan fikir ia kelihatan seperti Tribble," katanya.


Kebanyakan makhluk asing yang digambarkan dalam sains fiksyen dan kisah-kisah penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) mempunyai dua mata, dua lengan dan dua kaki.


Namun, Dr. Kershenbaum berpendapat makhluk asing mungkin mempunyai beberapa anggota badan yang mampu memberikan kelebihan kepadanya. Beliau juga berkata terdapat banyak lagi reka bentuk tubuh lain yang boleh dimiliki oleh makhluk asing termasuk menyerupai cacing, ikan atau labah-labah.


"Sekiranya 'alien' menyerupai ikan yang mempunyai enam atau lapan sirip, serta memiliki lebih banyak lengan untuk memanipulasi barang, maka kelebihan itu memudahkan mereka untuk membina kapal angkasa," katanya.


Makhluk asing sering digambarkan sebagai mempunyai sepasang mata, sepasang kaki dan tangan. Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon