Padah pamer aksi 'superman' dan zig zag, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di dua lokasi di Dungun, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, sepasukan pegawai dan anggota Skuad 42 JSPT melakukan Operasi Samseng Jalanan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Beliau berkata, mereka terserempak dengan tiga suspek berlumba sesama sendiri serta menundukkan kepala sambil melakukan aksi zig-zag berulang-kali dari Kilometer (KM) 370 hingga KM340 LPT2 menghala Kemaman dari Dungun pada 9.39 pagi.
Menurutnya, pasukan itu kemudian mendapati dua lagi suspek turut menunggang motosikal dengan membuat aksi superman dan zig-zag secara berulang-kali sejauh empat km dari arah Kemaman menghala ke Dungun (KM333 hingga KM337 di LPT2) pada 11.30 pagi.
Menurutnya, anggota Skuad 42 bertindak mengekori dua kumpulan berkenaan, sebelum kesemua mereka yang berusia 17 hingga 27 tahun ditahan di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Paka antara 10.35 pagi hingga 11.55 pagi.
Katanya, polis turut mengeluarkan sebanyak 11 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik dan turut menyita lima motosikal terbabit, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tiga remaja berusia 17 dan 18 tahun dari Setiu dikatakan dalam perjalanan ke Temerloh untuk mandi di sebuah kawasan rekreasi, manakala dua lagi suspek berusia 20 dan 27 tahun pula dikatakan dari arah Bandar Seri Bandi, Kemaman menuju ke Pantai Penarik, Setiu. - Sumber Harian Metro.
EmoticonEmoticon