Khamis, 28 Oktober 2021

Kucing Baka Scottish Tak Dapat, Duit Hampir RM70,000 Melayang

Kucing baka Scottish Fold - Gambar hiasan.

Hasrat seorang guru memiliki seekor kucing baka Scottish Fold terbantut selepas ditipu penjual melalui atas talian. Mangsa juga terpaksa menanggung kerugian sehingga RM69,030, lapor Harian Metro pada 27 Oktober 2021 lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 25 tahun dikatakan melihat iklan di Facebook pada 23 Oktober lalu mengenai kucing berkenaan yang difahamkan berada di Indonesia.


"Mangsa berminat membeli kucing terbabit dan menghubungi penjualnya. Dia bersetuju untuk membeli kucing itu pada harga RM900. Bagaimanapun, ketika dalam proses penghantaran dari Indonesia, mangsa diminta untuk membayar wang bagi pelbagai prosedur," katanya.


Aibee berkata, mangsa diminta supaya membayar separuh daripada harga kucing berkenaan dan bakinya dibayar selepas mendapat haiwan terbabit itu.


"Wanita berkenaan membuat pemindahan wang berjumlah RM450 ke akaun bank atas nama Tansiaupenga Siagian sebelum dimaklumkan kucing yang dibeli sudah dihantar ke alamatnya.


"Sepanjang proses penghantaran, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai prosedur dan sehingga kini membuat 14 transaksi berjumlah RM69,030 pada 23 dan 24 Oktober lalu," katanya.


Menurutnya, sehingga kini mangsa tidak mendapat kucing yang dibeli malah bimbang identitinya disalahguna kerana menyerahkan salinan kad pengenalan serta alamat kepada suspek.


Katanya, mangsa membuat laporan polis kerana rasa tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Sumber Harian Metro.


EmoticonEmoticon