Ahad, 10 Oktober 2021

Gali Parit Tengah Jalan, Pemandu Jengkaut Berang Rempuh Ford Ranger


Baru-baru ini, sebuah rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah jengkaut merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, dinaiki dua beranak di kebun kelapa sawit dekat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, Teluk Intan, Rabu lalu.


Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan. Tangkapan ke atas suspek berusia 47 tahun dan dua lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 4.05 petang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu bermula selepas suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 24 tahun kerana mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air.


Katanya, mangsa memberitahu suspek yang laluan itu dibuat kerana kawasan tersebut telah dinaiki air tambahan lagi, ia berada dalam kawasan kebunnya yang seluas 1.8 hektar.


"Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu, mereka mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.


"Mangsa dan bapanya telah menjelaskan kepada suspek tujuan laluan berkenaan digali namun lelaki itu tidak berpuas hati sehingga menyebabkan pertengkaran mulut sebelum dia bertindak menampar leher mangsa.


"Pada masa sama, jengkaut yang digunakan untuk menimbus laluan itu telah melanggar kereta Ford Ranger milik bapa mangsa, sehingga kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum pemandunya turun dan mengejar bapa mangsa menggunakan tukul besi," katanya.


Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati, laluan yang digali oleh mangsa adalah laluan utama bagi pekebun-pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran. Katanya, mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar air tidak bertakung di kawasan kebun miliknya.


Jelasnya, disebabkan parit di gali di tengah jalan, maka ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun mereka. Tanah mangsa berkeluasan lebih kurang 1.8 hektar di mana tanah itu adalah milik bapanya dan diusahakan oleh lelaki itu untuk penanaman anak pisang.


Tambah beliau, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, ketiga-tiga suspek diberkas polis semalam dan reman akan dipohon di Mahkamah Masjistret Teluk Intan hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/427/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, khianat dan ugutan jenayah. - Sumber Utusan Malaysia.


Sebuah jengkaut melanggar kenderaan pacuan empat roda berikutan pertengkaran membabitkan sekumpulan individu dan dua beranak di kebun kelapa sawit di RTB Labu Kubong, Teluk Intan.


EmoticonEmoticon