Ahad, 10 Oktober 2021

Gagal Cubaan Potong Kenderaan Lain Ketika 'Uji Jentera' Di Jalan Ulu Yam Sebabkan Kemalangan


Cubaan sebuah kereta memotong kenderaan di hadapan sehingga memasuki laluan bertentangan akhirnya membawa padah apabila bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Ulu Yam, Batu 23, Gombak, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian berlaku pukul 8.06 pagi ketika sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dari arah Batu Caves sedang dalam perjalanan ke Ulu Yam.


"Ketika melalui kawasan kejadian, pemandu Mitsubishi Lancer berkenaan cuba untuk memotong sebuah Perodua Bezza namun gagal lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.


"Akibat itu, pemandu serta dua penumpang Perodua Bezza warga Vietnam berusia 24 hingga 30 tahun mengalami kecederaan. Kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen.


"Pemandu Perodua Bezza patah pada bahu dan kaki manakala salah seorang daripada penumpangnya mengalami patah pada leher," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Menurut Azman, ketiga-tiga mereka kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Kuning Hospital Selayang. Pemandu Mitsubishi Lancer dan Volkswagen yang masing-masing berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu lori berusia 51 tahun pula luka di bahagian kaki.


"Semua pihak yang terlibat telah membuat laporan polis kecuali mereka yang menaiki kereta Perodua Bezza kerana masih mendapatkan rawatan di hospital. Siasatan berhubung kejadian dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Menerusi rakaman video berdurasi 44 saat yang tular hari ini di media sosial, kelihatan tiga buah kereta dipercayai sedang 'menguji jentera' sebelum salah sebuah daripadanya bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.


Tangkap layar kemalangan yang dirakam kamera pengguna jalan raya di Ulu Yam, Selangor, hari ini.


EmoticonEmoticon