Polis di Kansas, Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sebuah dompet yang hilang lebih 50 tahun kepada pemilik asalnya, lapor portal News18 pada 11 Oktober 2021.
Jabatan Polis Great Bend menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan dompet itu ditemui baru-baru ini oleh seorang penduduk, dan diserahkan kepada pegawai polis di Great Bend, sebuah bandar di Kansas.
Jelas polis, pihaknya menemukan beberapa dokumen penting dalam dompet itu termasuk Kad Keselamatan Sosial dan lesen memandu yang sudah tamat tempoh pada tahun 1974.
Dalam catatan Facebook pada 8 Oktober, Jabatan Polis Great Bend memaklumkan bahawa pemilik dompet buatan tangan itu berjaya dihubungi, kini tinggal di Lawrence, Kansas.
"Pemilik berkenaan memberitahu kami bahawa dia kehilangan dompet itu pada awal 1970an. Dia juga sangat gembira dapat semula dompet yang hilang," jelas hantaran itu.
Kejadian serupa berlaku pada Februari tahun ini di San Diego, sebuah bandar California, AS. Seorang lelaki berusia 91 tahun, Paul Grisham mendapatkan dompetnya semula yang hilang lebih 53 tahun lalu, pada tahun 1960-an.
Dompet itu dijumpai di belakang sebuah loker pada tahun 2014 di Stesen McMurdo di Pulau James Ross di Antartika. Dompet itu mengandungi kad pengenalan Tentera Lautnya dan lesen memandu serta dokumen lain yang membuktikan identitinya sebagai pemilik dompet tersebut.
EmoticonEmoticon