Sabtu, 9 Oktober 2021

Berlian 'rare' Berharga Lebih RM90,000 Ditemui Seorang Wanita Ketika Mendaki


Seorang wanita sangat bertuah apabila dia menemui sebutir berlian dianggarkan bernilai lebih AS$22,000 (RM91,917) di taman negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS) dan dibenarkan menyimpan mineral berharga itu, lapor akhbar Daily Star pada 8 Oktober 2021.


Noreen Wredberg, ketika menemui berlian itu sedang mendaki bersama suaminya, Michael Wredburg di Taman Negeri Crater of Diamonds apabila dia terlihat sebutir objek berwarna kuning berkilau yang berada di atas tanah.


"Saya tidak tahu bahawa ia merupakan berlian, namun objek itu amat bersih dan berkilau. Jadi, saya mengutipnya," kata Noreen.


Wanita itu kemudiannya membawa berlian tersebut kepada pihak berkuasa taman negeri yang kemudiannya mengesahkan bahawa ia merupakan berlian tulen, dan mengatakan bahawa ia adalah berlian terbesar yang ditemui di Taman tersebut tahun ini.



Taman Negeri Crater of Diamonds adalah lombong berlian sejak tahun 1906, dan dibuka untuk pengunjung pada tahun 1972, adalah satu-satunya tapak perlombongan berlian awam di AS. Sejak itu, lebih dari 33,000 berlian telah ditemui oleh pengunjung, dengan ukuran yang berbeza-beza. 


Walaupun pengunjung sering menemui berlian di Taman ini, namun kebanyakannya jenis yang kurang berharga berbanding berlian yang ditemui Noreen. Berlian itu bersaiz kira-kira sebutir kacang jeli dengan bentuk seperti buah pir dan berwarna kekuning-kuningan seperti lemon.


Dalam pada itu, seorang pakar berlian dan barang kemas, David Allen berkata, berdasarkan saiz, berlian yang dijumpai Noreen itu boleh dijual pada harga antara AS$20,000 hingga AS$30,000 (RM83,563 hingga RM125,344) berdasarkan kepekatan warna kuningnya.


"Semakin pekat dan cantik warna kuningnya, semakin tinggi nilainya dan ia sangat dicari. Ini adalah penemuan yang luar biasa, dan Noreen adalah orang yang sangat bertuah kerana menemuinya," ujarnya.


Berlian itu bersaiz kira-kira sebutir kacang jeli dengan bentuk seperti buah pear dan berwarna kekuning-kuningan seperti lemon. - Foto Taman Negeri Crater of Diamonds.


EmoticonEmoticon