Jumaat, 29 Oktober 2021

Beli Telefon Bimbit Secara Online, Yang Sampai Ketulan Batu


Dalam era serba digital, membeli-belah dalam talian sememangnya menjadi pilihan ramai orang untuk mendapatkan barangan yang diinginkan. Kehadiran kedai dalam talian juga memudahkan pembeli membandingkan harga barangan yang ditawarkan.


Walaupun dianggap mudah, membeli-belah dalam talian mempunyai cabarannya dan memberikan rasa bimbang yang tersendiri kepada pembeli. Kerana jika tidak berhati-hati, pembeli berkenaan mungkin menjadi mangsa penipuan.


Seperti yang dialami oleh seorang wanita di Indonesia baru-baru ini, mendakwa ditipu penjual online apabila dia menerima bungkusan telefon bimbit yang diisi dengan ketulan batu selepas membelinya pada harga 2.5 juta rupiah (RM730), lapor saluran berita Liputan6 pada 27 Oktober 2021.


Menerusi satu hantaran di Twitter pada 26 Oktober lalu, pengguna dengan akaun bernama @aftertandakoma itu berkongsikan klip video dia membuka bungkusan telefon bimbit yang dibeli menggunakan platform beli-belah online.


Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati terdapat ketulan batu dalam kotak telefon bimbit tersebut, mengakibatkan dia mengalami kerugian berjumlah 2.5 juta rupiah (RM730).


"Helo @ShopeeID @sicepat_ekspres. Saya kena tipu. Kerugian 2.5 juta rupiah," ciapnya dalam hantaran tersebut, dan wanita itu kemudiannya menghubungi Shopee Indonesia bagi memberitahu mengenai perkara itu.


Bagaimanapun, penjual dalam platform tersebut mendakwa bahawa mereka telah mengirim produk seperti yang diminta wanita berkenaan dan tidak menipunya. Menurut peniaga itu, insiden tersebut berkemungkinan dilakukan oleh pihak kurier yang mungkin telah membuka bungkusan tersebut.


"Kami tidak tahu. Mungkin yang bersalah dalam hal ini adalah pihak kurier. Kalau kami menipu, tidak mungkin kami boleh menjual banyak unit telefon bimbit dan kesemua produk yang kami jual adalah produk asli," jawab penjual tersebut.


Hantaran itu menjadi tular dengan ramai pengguna lain memberi pendapat mengenai isu tersebut. Beberapa netizen yang memberi komen mengatakan agar lebih berhati-hati ketika membeli-belah dalam talian, kerana terdapat banyak penipuan.


"Jika membeli di kedai online, jangan tertipu dengan bilangan pengikut yang ramai atau jumlah produk yang telah terjual kerana ia belum tentu asli," kata seorang netizen.


EmoticonEmoticon