Jumaat, 22 Oktober 2021

Batu Besar Tergolek Dari Atas Bukit Hentam Kereta, Pemandu Nyaris Maut


GEORGETOWN - Seorang pengguna jalan raya nyaris maut apabila bongkah batu bergolek dari atas bukit sebelum menghentam keretanya di Jalan Tun Sardon menghala Paya Terubong di sini, hari ini.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 petang itu, batu bukit sebesar tiga pemeluk dewasa tersebut jatuh menutup sebahagian jalan raya dan menghalang sebahagian laluan berkenaan. 


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.36 petang berhubung kejadian itu. Katanya, pasukan dari Balai Polis Ayer Itam bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan bahagian kiri kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu lelaki berusia 47 tahun mengalami kerosakan termasuk cermin bahagian penumpang hadapan dan belakang pecah.


"Ketika di lokasi didapati bongkah batu besar jatuh merentangi jalan raya sekali gus menghalang laluan. Kejadian itu tidak membabitkan nyawa namun kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu seorang lelaki mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri," katanya.


Soffian berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya sudah melakukan pembersihan termasuk mengalihkan bongkah batu berkenaan dengan menggunakan jentolak.


Satu bongkah batu jatuh dari atas bukit menyebabkan sebuah kereta rosak dalam kejadian di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau di sini hari ini.

Pemandu kereta nyaris maut apabila bongkah batu tiba-tiba bergolek dari atas bukit.


Kerja-kerja mengalihkan batu besar yang jatuh dari atas bukit menggunakan jentolak.

Keadaan kereta mangsa akibat ditimpa batu besar yang jatuh dari atas bukit.


EmoticonEmoticon