Khamis, 14 Oktober 2021

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan


KUALA LUMPUR - Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama, yang dijadikan pusat hiburan serta pelacuran dan menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan pada malam 12 Oktober 2021.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.


Katanya, serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan juruwang di premis itu serta enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengangkut wanita-wanita itu ke banglo berkenaan atau dikenali sebagai 'transporter'.


"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya.


Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit. Katanya, dia dimaklumkan mengenai kerja itu oleh rakannya dan dia diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo itu.


"Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi semalam.


Mohamad Noor berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.


Beliau berkata, premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan, juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.


"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport. Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini," katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Antara wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin.


EmoticonEmoticon