Isnin, 4 Oktober 2021

38 Pesawat Tentera China Termasuk Pengebom Nuklear H-6 Ceroboh ADIZ Taiwan


TAIPEI - Kerajaan Taiwan mengesan 38 pesawat tentera China memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) negara itu, ketika Beijing menyambut Hari Kebangsaan, sekali gus dilihat sebagai pencerobohan terbesar sejak beberapa bulan lalu, dakwa Taipei pada 2 Oktober 2021.


Pertunjukan ketenteraan Hari Kebangsaan China (ulang tahun penubuhannya yang ke 70) pada 1 Oktober 2021 diadakan berhampiran pulau demokratik ditadbir sendiri, yang mana Beijing menuntut kawasan itu sebahagian wilayahnya.


Taipei memaklumkan sebanyak 22 pesawat pejuang China termasuk 18 jet jenis J-16 dan empat jet Su-30, mengiringi dua pesawat pengebom nuklear H-6 serta sebuah pesawat pengintip Y-8 dalam satu misi dijalankan Jumaat lalu.


Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pihaknya mengerahkan jet pejuang bagi memintas dan memberi amaran kepada pesawat China, di samping mengaktifkan sistem pertahanan peluru berpandu bagi memantau keadaan.



Tambah kementerian itu, kumpulan kedua membabitkan 13 jet melintasi ADIZ pada Jumaat (1 Oktober 2021) dalam 'pencerobohan' malam yang jarang berlaku, sekali gus menjadikan jumlah pesawat China melintasi kawasan itu sebanyak 38.


ADIZ tidak sama seperti ruang udara wilayah Taiwan tetapi termasuk kawasan yang jauh lebih luas dan bertindih dengan bahagian zon identifikasi pertahanan udara China serta termasuk kawasan tanah besar negara itu.


Beijing sering menghantar pesawat ketenteraannya ke zon pertahanan udara Taiwan untuk menunjukkan kekuatan. Misi kali ini adalah yang terbesar berbanding 28 jet memasuki ADIZ Taiwan pada 15 Jun lalu.



Misi itu dijalankan ketika ketegangan semakin meningkat di wilayah tersebut berikutan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan perolehan kapal selam nuklear yang menimbulkan kemarahan Beijing.


China sering melakukan misi seperti itu namun kali ini mereka mengambil 'kepentingan baharu' setelah perjanjian AUKUS. Taiwan yang merupakan sekutu dekat AS, mungkin berperang untuk melindungi wilayah separa autonomi itu sekiranya berlaku pencerobohan berterusan oleh China.


Perjanjian AUKUS itu secara tidak langsung memberi gambaran UK dan Australia kini boleh diseret dalam konflik tersebut.


Sementara itu, data penjejakan penerbangan yang dikeluarkan oleh Taiwan menunjukkan jet J-16 dan pesawat pejuang Su-30 terbang jarak dekat ke ADIZ sebelum berpatah balik. Dua pesawat pengebom H-6 pula terbang melengkung untuk waktu singkat di tepi ADIZ.


Dilaporkan, pesawat Y-8 terbang melalui laluan panjang di sepanjang selatan pulau sebelum berpatah balik. Sejak setahun lalu, Taiwan beberapa kali mendakwa pesawat tentera udara China menghampiri sempadan negara itu khususnya di kawasan zon pertahanan udara berhampiran Kepulauan Pratas.


Berdasarkan data Kementerian Pertahanan, sekurang-kurangnya sebuah pesawat tentera China melintasi zon pertahanan Taiwan hampir setiap hari pada bulan lalu.


Setakat ini, sebahagian besar misi dijalankan China hanya melibatkan sejumlah kecil pesawat namun misi pada Jumaat lalu merupakan luar biasa dari segi bilangan pesawat. Dilaporkan, hanya tiga misi yang setanding melintasi ADIZ Taiwan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


"Misi pada 5 dan 23 September lalu masing-masing membabitkan 19 pesawat manakala 15 Jun lalu sebanyak 28 pesawat memasuki ADIZ," jelas laporan itu.


JET pejuang jenis J-16 antara pesawat tentera China yang melintasi Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.


EmoticonEmoticon