Ahad, 3 Oktober 2021

1,400 Kg Daun Ketum Ditemui Berselerakan Di Dalam Rumah


PADANG BESAR - Polis merampas sebanyak 1,400 kilogram daun ketum dalam keadaan berselerakan di hampir keseluruhan ruang termasuk tandas sebuah rumah sewa, di Kampung Kolam di sini Jumaat lalu yang dijadikan transit pengedaran daun itu ke Thailand.


Rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM42,000 itu dibuat selepas sepasukan polis menyerbu rumah tersebut hasil risikan dan maklumat orang awam kira-kira pukul 10 malam.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas memberitahu, pihaknya sebelum serbuan membuat pemerhatian selama sejam tetapi tiada individu yang datang ke rumah berkenaan.



"Pada kira-kira pukul 10 malam, kita menghubungi pemilik rumah untuk hadir dan seterusnya merampas daun-daun disyaki ketum.


"Siasatan awal, pemilik rumah memaklumkan bahawa urusan sewa rumah berkenaan diuruskan oleh adiknya dan dia tidak tahu menahu mengenai aktiviti berkaitan daun ketum berkenaan," katanya di sini hari ini.


Tambahnya, kesemua barang rampasan tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut. Katanya, siasatan diteruskan bagi mengesan penyewa rumah berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri.


"Pemilik rumah dan adiknya yang menguruskan sewaan rumah akan dipanggil untuk dirakam keterangan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.


Daun ketum yang dibungkus dengan plastik lut sinar berselerakan di dalam sebuah rumah sewa di Kampung Kolam, Padang Besar pada kelmarin.


EmoticonEmoticon