ANKARA - Sebuah tasik di wilayah Konya, Turki yang merupakan sumber air semula jadi dan kelima terbesar di negara ini, kini kering kontang akibat pemanasan global dan penurunan kekerapan hujan sepanjang tahun ini.
Menurut laporan portal Hurriyet Daily News pada 6 September 2021, Tasik Aksehir yang seluas 54 kilometer persegi dan pernah mempunyai kedalaman air sehingga lima meter kini seperti padang jarak padang tekukur apabila sumber airnya mengering.
Bercakap kepada Agensi Berita Demiroren (DHA), ahli akademik Universiti Teknikal Konya, Tahir Nalbantcilar, memaklumkan terdapat lapisan tanah yang retak di tengah-tengah tasik itu. Dasar tasik menjadi begitu kering sehingga kenderaan boleh dipandu di atas permukaannya.
Tahir mengatakan salah satu faktor utama pengeringan tasik itu adalah disebabkan pemanasan global. Namun begitu, terdapat juga kepincangan sistem penggunaan air bagi sektor pertanian di kawasan sekitar yang menyumbang kepada kejadian ini.
"Beberapa kolam air buatan manusia yang diwujudkan untuk tujuan pengairan ke tanah-tanah pertanian milik penduduk dengan benteng yang dibina di tebing sungai telah menyekat sumber air yang mengalir ke tasik ini.
"Sekiranya kerajaan tidak mengubah sistem penggunaan air semasa, mungkin kita perlu mengucapkan selamat tinggal kepada tasik itu buat selama-lamanya," ujarnya.
Menurut Nalbantcilar, tasik itu pernah berdepan musim kemarau pada masa lalu ketika ia berisiko menjadi kering namun sentiasa dapat dipulihkan. Tetapi kali ini katanya, kita dapat melihat kesan perubahan iklim dan pemanasan global di Tasik Aksehir.
"Hari ini, kita dapat melihat situasi menyedihkan yang mana anda boleh berjalan di atas dasar tasik yang pernah menjadi bahagian tasik paling dalam. Keadaan itu menyebabkan ratusan nelayan hilang pendapatan dan hanya beberapa haiwan meragut tumbuhan kecil di bahagian tertentu di dasar tasik," katanya kepada DHA.
EmoticonEmoticon